Wednesday, 19 August 2015

Kepentingan Susu Ibu

Assalamualaikum semua. 

Didoakan semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan Allah...

Di sini, saya ingin berkongsi dengan anda semua kepentingan susu ibu. Fakta-fakta yang di ambil adalah dari hasil pembacaan menganai penyusuan susu ibu. Seperti yang semua sedia maklum, terdapat banyak faedah penyusuan susu ibu, bukan sahaja untuk anak tetapi untuk ibu juga.

Semua ibu-ibu disarankan untuk menyusui anak mereka dengan susu ibu sejak lahir sehingga berumur 6 bulan dan seterusnya sehingga mencapai umur 2 tahun. Hal ini juga ada dinyatakan di dalam Al-Quran sendiri iaitu Surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

"Para ibu HENDAKLAH menyusukan anak-anaknya selama 2 TAHUN PENUH, iaitu bagi yang ingin MENYEMPURNAKAN penyusuan..."

Penyusuan susu ibu secara eksklusif perlu diteruskan sehingga bayi berumur 6 bulan kerana kandungan nutrien dalam susu ibu adalah mencukupi bagi pertumbuhan bayi dari lahir hingga berumur enam bulan. Penyusuan susu ibu selama 6 bulan tanpa makanan lain tidak menjejaskan kadar pertumbuhan bayi. Makanan pelengkap pula perlu dimulakan semasa anak berumur 6 bulan dan ke atas.

Ini juga dapat memastikan penyerapan zat besi yang optimum daripada susu ibu. Pengambilan bahan lain boleh mengurangkan penyerapan nutrien di dalam susu ibu seperti zat besi. Air atau cecair lain selain susu ibu bertindak menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu terhadap sistem pencernaan. Ia mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko seperti jangkitan dan alahan.

Amalan pemberian air kosong, jus buah atau air teh juga boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan bayi kerana boleh meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi, risiko penyakit dan jangkitan, risiko keracunan air dan kegagalan penyusuan.


Banyak kajian-kajian yang telah dibuat yang menunjukkan banyaknya faedah menyusukan bayi dengan susu ibu. Antaranya ialah:

  • Perkembangan psikomotor
  • Emosi dan sosial yang lebih baik
  • Perkembangan daya intelek yang lebih baik iaitu IQ tinggi
  • Kurang risiko diabetes
  • Kurang risiko kanser
  • Kurang risiko jangkitan telinga dan pneumonia
  • Antibodi tinggi untuk melawan penyakit
  • Kurang risiko Sindrom Kematian Mengejut
  • Penghadaman yang mudah
  • Menggalakkan tumbesaran dan banyak lagi.

Selain itu, faedah-faedah untuk pihak ibu pula ialah:

  • Penyusuan susu ibu mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan beberapa jenis kanser ovari
  • Kurang risiko kerapuhan tulang pinggul di kemudian hari
  • Kurang tekanan perasaan selepas bersalin
  • Pemulihan fizikal yang cepat selepas bersalin
  • Mempercepatkan proses penurunan berat badan jika disertai dengan senaman
  • Pengecutan rahim dengan cepat
  • Kurang risiko pendarahan

Bagi memastikan penyusuan awal dapat dimulakan, lakukan sentuhan kulit ke kulit sejurus sahaja bayi dilahirkan sekurang-kurangnya selama satu jam. Setelah itu segera menyusukan bayi apabila bayi menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu. Hal ini telah dipraktikkan di hospital-hospital kerajaan sebagai tanda sokongan pihak kerajaan dalam menggalakkan penyusuan susu ibu.


Antara tanda-tanda bayi ingin menyusu ialah apabila dia menggerak-gerakkan mata, membuka mulut, menjelirkan lidah serta memusingkan kepala untuk mencari payudara ibu, menghisap jari, tangan, selimut, kain atau sebarang objek yang menyentuh bibirnya. Apabila melihat tanda-tanda ini, segera susukan bayi dan jangan tunggu sehingga bayi menangis.

Semasa hendak mula menyusu, biasanya bayi menegangkan tubuhnya tetapi setelah dapat menghisap dengan baik, tubuh bayi akan beransur relaks. Kebanyakan bayi melepaskan payudara ibu dengan sendiri selepas berasa kenyang tetapi sesetengahnya akan terus menghisap sehingga tertidur.

Antara tips untuk mengeluarkan payudara ibu daripada mulut bayi, masukkan jari kelingking di celah bibir bayi, tekan sedikit untuk mengeluarkan puting payu dara daripada mulut bayi. Susukan bayi pada sebelah payudara sebelum memberikan payudara yang sebelah lagi. Hal ini adalah untuk meningkatkan penghasilan susu ibu.


Susuilah bayi mengikut kehendak bayi bukan mengikut waktu tertentu, susui dengan kerap pada waktu terluang termasuk waktu malam, perah susu selepas susukan bayi kerana cara ini akan membantu payudara menghasilkan lebih banyak susu dan jangan beri puting kosong kepada bayi kerana ini akan menganggu proses penyusuan susu ibu.

Tetapi, dalam situasi tertentu seperti bayi mengantuk disebabkan pramatang, kuning atau kesan penggunaan ubat semasa proses kelahiran atau payudara ibu terlalu penuh dan ibu berasa tidak selesa, ibu perlu mengejutkan bayi untuk disusukan.

Bagaimana kita ingin tahu bayi mendapat susu yang mencukupi? Tanda-tandanya ialah bayi kerap membuang air kecil (berwarna kuning jernih lebih 6 kali sehari), buang air besar 3 hingga 8 kali sehari (kekerapan berkurang apabila berumur lebih sebulan), sihat dan tidur nyenyak, tona otot yang baik dan kulit sihat serta peningkatan berat badan yang normal.


Mengenai bahaya atau risiko bayi yang tidak diberikan susu badan, bayi tersebut akan mengalami jangkitan seperti pada usus, cirit-birit dan jangkitan sistem pernafasan. Mereka akan turut mengalami ekzema dan lain-lain alahan, keradangan usus besar yang serius bagi bayi pramatang, rendah IQ, diabetes dari peringkat kanak-kanak lagi, kekurangan zat makanan dan kematian bayi serta kanak-kanak di peringkat awal usia.

Oleh itu, susu ibu amat sesuai untuk bayi dan sentiasa berubah dari hari ke hari, bulan ke bulan mengikut perkembangan dan keperluan bayi. Bayi dapat mempelajari rasa makanan keluarga melalui susu ibunya.

Sesungguhnya, susu ibu adalah unik dan amat istimewa, mengandungi cecair yang hidup secara aktif dalam melindungi bayi dari jangkitan yang tidak terdapat pada susu formula.


Terima kasih...


Norasyikin Binti Abdul Karim | Email : asyiqin08@gmail.com | WhatsApp/Telegram/sms : 013 697 8184

No comments:

Post a Comment